Tuesday, June 12, 2007

Pandangan Sempit Presiden IIM: Rasuah ahli politik tidak membimbangkan


Saya terkilan dengan pendapat Presiden Institut Integriti Malaysia (IIM), Datuk Dr Mohd Tap Salleh bahawa dakwaan berkaitan rasuah terhadap golongan tertentu hanya tanggapan dan andaian semata-mata.

Beliau, dengan sekadar berpandukan kepada laporan Badan Pencegah Rasuah (BPR) berkata tidak ramai ahli politik terbabit dengan rasuah berbanding penjawat awam dan masyarakat umum.

Beliau selanjutnya berkata seluruh fraterniti politik terbabit dengan tanggapan perlakuan rasuah yang meluas kerana mereka sering menjadi perhatian masyarakat.

Pandangan Dr Mohd Tap dianggap terlalu sempit, pertama, kerana ia hanya berpandukan laporan daripada BPR dan andaian peribadi semata-mata.

Sebagai seorang yang mengetuai sebuah badan seperti IIM, beliau sepatutnya lebih bersikap analytical jika tidak “empirical” dalam pemutusannya berhubung perkara-perkara seperti ini.

Apakah beliau tidak menyedari bahawa konsep rasuah begitu meluas? Ia boleh meliputi perkara-perkara “remeh” seperti menggunakan harta kerajaan walaupun sebentar untuk urusan peribadi, melewatkan tugas, malas berkhidmat untuk masyarakat dan negara, mengamalkan sikap pilih-kasih dan banyak lagi.

Dalam konteks ini beliau seharusnya mengajukan cadangan supaya Parlimen mentafsir semula perundangan berhubung pengertian rasuah daripada sekadar memberi dan menerima wang bagi tujuan yang melampaui prosedur tertentu.