Thursday, December 27, 2007

Dibelasah kerana membantu mangsa keputusan bekalan air


Seorang kakitangan Jabatan Bekalan Air (JBA) Pahang cedera dipukul seorang penduduk kampung di Bukit Goh, Kuantan Selasa lalu dipercayai akibat rasa tidak puas hati dengan pengagihan bekalan air.

Azman Mohamad, 31, berkata beliau dipukul dengan kayu di bahagian belakang badan dan tangan ketika menghantar bekalan air di kawasan tersebut yang mengalami masalah gangguan sejak dua minggu lepas.

Katanya ketika beliau sedang mengisi air ke dalam tong di sebuah rumah, seorang lelaki berusia dalam lingkungan 60an tiba-tiba datang dari belakang dan terus memukulnya dengan kayu.

"Saya lari ke dalam lori dan mengunci pintu kerana dia juga cuba mencederakan seorang rakan saya yang berada dalam lori," katanya kepada pemberita di pejabat JBA di sini.

Azman diberi rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Tengku Ampuan Afzan dan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan.

Penduduk di kawasan Bukit Goh terpaksa mencatu air untuk kegunaan harian dan hanya bergantung kepada bekalan air dari lori tangki JBA setiap hari sejak dua minggu lepas apabila saluran pam yang membekalkan air bersih ke kawasan itu tersumbat akibat tanah runtuh.

Pengarah JBA Pahang Datuk Ismail Nor ketika diminta mengulas tentang kejadian itu melahirkan rasa kesal dengan kejadian itu dan berkata JBA sedang berusaha menangani masalah bekalan air di kawasan terbabit. "Semua pihak perlu bersabar dan bertolak ansur," katanya.

Ismail berkata bekalan air yang dihantar tidak akan mencukupi jika ada penduduk bersikap tamak dengan menyimpan air dengan banyak.