Wednesday, April 2, 2008

Mereka mahukan perubahan tetapi payah menerima pendapat radikal...


Apakah salahnya bagi seorang anak muda yang jelas bakal mewarisi perjuangan Melayu dan (mungkin) juga UMNO di masa akan datang bersuara dengan bebas?

Tindakan cuba menutup mulutnya dengan ancaman fizikal dan luahan kata-kata kesat, termasuk 'kurang ajar' tidak sepatutya menjadi sebahagian daripada agenda impromptu perjumpaan seperti forum KMU.Net kelmarin.

Pemikiran dan minda sempit terkongkong seperti inlah yang bakal membawa UMNO kepada lurah kemunduran lebih mendalam dan gelap.

Sebenarnya, memang ramai di kalangan orang Melayu dan ahli UMNO yang mahukan perubahan dalam pemikiran keseluruhan parti. Dalam konteks ini keterbukaan amatlah penting, tetapi seperti mana diterapkan dalam adat kusisilaan dan peradaban Melayu, baiklah sebarang persoalan yang ditimbulkan diajukan secara berhemah dan kena pada tempatnya.

Memang baik sikap terbuka yang bebas. Bagaimanapun kebebasan total tidak wujud dalam mana-mana tamadun pun. Ia bergantung pada cara hidup dan arus sosial serta budaya yang diterima anggota sesuatu masyarakat.

Berbalik kepada kekocohan semasa Forum KMU.NET di Hotel Singgahsana, Petaling Jaya kelmarin, sedih saya melihat sikap naive dan berani seorang anak muda dicemuh dan diancam sedemikian rupa?

Jika jemputan utama seperti Tun Mahathir sendiri dengan senang menerima keterbukaan, mengapa pula sikap tiada toleransi di kalangan sesetengah daripada hadirin begitu terserlah? Jika begitu caranya sejauh manakah orang Melayu dalam UMNO akan beratahan?

Kejadian kelmarin menjadikan pesona forum KMU.NET bagaikan munafik kerana perlanggaran kebebasan berbicara yang menjadi asas kepada forum itu sendiri telah dicemari pelbagai pantang-larang menyekat kebebasan bersuara...