Tuesday, May 20, 2008

Syawal gembala kambing


Dalam filem P.Ramlee, AHMAD ALBAB, Syawal Gembala Kambing menjadi kaya raya setelah diberi harta oleh jin yang turun ke bumi untuk mencarikan kawan untuk anaknya kerana di dunia jin, anaknya tidak dapat mencari kawan yang baik. Jadi keluarga jin menjadikan anak Syawal, Ahmad Albab sebagai kawan anak mereka. Sebagai balasan Syawal mendapat harta berpeti-peti dengan syarat setiap bulan purnama Ahmad Albab mesti datang ke gua tempat jin sekeluarga tinggal.

Setelah menjadi orang kaya di Kampung Pening Lalat , Syawal didatangi oleh orang kampung meminta bantuan. Suatu hari penghulu Kg Pening Lalat membawa mangsa kebakaran yang terdiri daripada orang kampung. Syawal telah mengarahkan petugasnya menilai kerugian orang kampung dan membayar "double" semua kerugian itu. Syawal sebenarnya memperlihatkan contoh wakil rakyat, YB yang prihatin kepada nasib masyarakatnya.

Sedih kerana wakil rakyat kita sekarang berada di persimpangan jalan, tidak pasti simpang mana yang harus diikuti, tambah lagi selepas dikejutkan dengan keputusan Tun Dr Mahathir meninggalkan UMNO.

Sejauh mana benarnya kenyataan bahawa UMNO kini beyond repair seperti yang diucapkan oleh Mantan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Banyak sangat diversion dalam menangani UMNO sekarang. Tidak ada satu kekuatan yang mengawal, betul-betul fokus dalam menetapkan landasan yang perlu kita ambil sekarang.
Masing-masing pemimpin tidak mahu tersilap langkah memberi sokongan. Jalan paling selamat ialah berdiam diri. Tetapi apakah ini baik untuk memulihkan UMNO ?
Kalau mereka betul-betul jujur menyokong kepimpinan Pak Lah, tunjuk sokongan dengan menyemarakkan semula perjuangan. Bukan bermain di tepi gelanggang !
Kalau sebaliknya, bentangkan pelan menyelamatkan UMNO, tidak kira siapa pemimpin yang menerajuinya.

Ini adalah detik dan ketika yang kritikal bagi parti orang Melayu. Ini ialah mengenai keselamatan dan masa depan. Ini ialah mengenai penentuan sejarah, kedudukan ekonomi dan maruah. Ini bukan lagi soal marah, soal balas dendam dan fitnah. Ia memerlukan pengorbanan menyelesaikan masalah bangsa, bukan lagi membangkitkan hal projek sasa.
Kalau pemimpin UMNO tidak faham atau sengaja tidak mahu faham, sia-sialah perjuangan UMNO mahu memartabatkan kedudukan orang Melayu. Jangan kita jadi Nujum Pak Belalang, sentiasa bergantung kepada nasib dan menolak realiti.