Sunday, August 23, 2009

Berundurlah Khalid...




RAKYAT di seluruh negara sedang menyaksikan kekacauan pentadbiran di dua buah negeri yang dikuasai oleh pakatan pembangkang. Kerajaan negeri Pulau Pinang yang diketuai DAP ternyata dikuasai oleh golongan minoriti, sanggup tunduk kepada tekanan dan bantahan kumpulan hanya lebih 20 orang sehingga terpaksa menangguhkan projek pembangunan yang bernilai berjuta ringgit di Kampung Buah Pala.

Ini tentunya memberikan implikasi buruk kepada kerajaan negeri kerana terlihat tidak tegas untuk menyelesaikan masalah dengan cepat dan tidak berdiri di atas keputusan yang telah dibuat. Ini tentunya akan menyebabkan pemodal-pemodal takut untuk datang membuka projek yang terlibat dengan kerajaan negeri itu.

Sikap kerajaan negeri itu juga akan menggalakkan rakyat mencari penyelesaian dengan cara mengugut bagi memenuhi tuntutan mereka. Kerajaan terlihat bukan memenuhi kepentingan rakyat terbanyak tetapi mengutamakan kepentingan kelompok kecil.

Tolak ansur Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam isu pembangunan Kg. Buah Pala menampakkan kelemahan kepimpinan beliau yang bagitu mudah memberi ruang kepada kepentingan politik tanpa memikirkan kesan jangka panjang kepada imej kewibawaan kepimpinannya.

Sementara itu di Selangor pula Menteri Besarnya Khalid Ibrahim telah mengendalikan kerajaan negeri seperti menguruskan syarikat pernigaan atau badan korporat yang mengutamakan keuntungan tanpa mempedulikan perasaan rakyat biasa dan juga Sultan Selangor.

Beliau juga telah terlihat tidak sensitif terhadap perkara-perkara yang menyentuh isu agama dan bangsa.

Beliau tidak memghormati rakan politiknya Pas dengan membiarkan penjualan arak dengan sewenang-wenang di kawasan orang Islam. Beliau mahu menggunakan wang zakat untuk pembangunan umum sehingga menyinggung perasaaan Sultan Selangor. Beliau juga tidak menghiraukan bantahan orang Islam yang tidak mahu kuil Hindu didirikan di kawasan kediaman mereka.

Dari sudut keugamaan dan kebangsaan, Khalid Ibrahim telah mencatatkan sejarah sebagai Menteri Besar Selangor yang paling biadab yang pernah dimiliki oleh Selangor.

Sulan Selangor terpaksa menitahkan larangan terhadap hasrat Meneri Besar ini untuk menggunakan wang zakat bagi tujuan selain daripada membantu umat Islam dan pembangunan ummah. Jelas bahawa Khalid tidak tahu bidang kuasanya, tidak menghormati institusi Melayu dan tidak mempedulikan perasaan bangsanya yang beragama Islami tetapi sanggup melakukan apa sahaja untuk kepentingan diri dan politik partinya.

Dalam hal ini beliau telah sampai ke peringkat tidak menghormati perlembagaan negeri dan negara.

Imej bersihnya telah tercemar apabila beliau mengumumkan untuk tidak membenarkan ahli-ahi exconya dan juga pegawai- pegawainya disiasat oleh SPRM ( Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia) di luar pejabat mereka dan beliau juga mahu menentukan masa penyiasatan.

Seorang anggota exco negeri, Azmin Ali telah pun menunjukan ketidak percayaan terhadapnya dengan meminta supaya disusun semula barisan exco negeri Selangor dan Ahli Parlimen  PKR Wangsa Maju mendakwa ada ahli exco yang mempunyai kaitan dengan semseng dan gerakan bawah tanah.

Khalid juga bertegas mahu mendirikan kuil Hindu di kawasan Shah Alam yang majoritinya orang Islam sekalipun telah menerima bantahan keras dari penduduk setempat.

Berasaskan kepada dakwaan seorang Ahli Parlimen Pakatan sendiri, Wee Choo Keong dari kawasan Wangsa Maju ternyata kerajaan pimpinan Khalid Ibrahim mempunyai kaitan dengan samseng dan gerakan bawa tanah.

Dakwaan ini semakin meyakinkan orang ramai apabila kenderaan utiliti sukan milik SPRM telah dilontar dengan bom molotov baru- baru ini ketika exco kerajaan negeri disiasat dalam kes rasuah. Prasangka ini tidak boleh ditolak dengan sekadarkan Penasihat DAP Lim Kit Siang mengutuk tindakan serangan itu.

Kejadian mati jatuh bangunan( bunuh diri?) pegawai pembantu exco negeri yang sedang dalam siasatan dan peristiwa-peristiwa berikutnya ternyata telah menimbulkan prasangka dan kehilangan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan Khalid Ibrahim.

Ketidakkeyakinan bertambah apabila Mahkamah Tinggi memerintahkan bekas Ketua Eksekutif PNB itu membayar hutang berjumlah RM66.67 juta kepada Bank Rakyat yang diperolehnya pada 2001 untuk membeli saham Guthrie.

Menimbangkan semua senario yang disebutkan dan juga keadaan yang dihadapi oleh kepimpinan Khalid Ibrahim, maka pakatan pembangkang di negeri Selangor harus memikirkan apakah wajar krisis keyakinan ini terus dibiarkan berlarutan di negeri ini..

Inilah masanya untuk memberikan perhatian kepada seruan Azmin Ali supaya kerajaan negeri disusun semula. Menteri Besar Selangor mesti digantikan dengan seorang yang lebih sesuai dan berkemampuan untuk memulihkan keyakinan rakyat bagi menjamin kestabilan kerajaan dan bagi membolehkan kerja-kerja pembangunan negeri dan rakyat di teruskan.

Bagaimana kalau Azmin Ali menggantikan Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor?

Oleh MUNSYI ABDULLAH
malaysiaaktif.com