Thursday, December 4, 2008

Wartakan fatwa merokok haram


Fatwa merokok yang diisytiharkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan sejak 1995 perlu segera diwartakan oleh setiap kerajaan negeri.

Ini kerana gejala merokok adalah musibah yang sangat jelas dari pelbagai segi sehingga setiap tahun kira-kira 100,000 orang mati yang dikaitkan dengan penyakit akibat merokok.

Setiap tahun rakyat Malaysia berbelanja RM2 bilion untuk merokok manakala kerajaan pula terpaksa mengeluarkan perbelajaan berbilion ringgit lagi untuk merawat mereka yang menjadi mangsa dari penyakit yang dikait dengan merokok.

Kesan sosial kepada anak muda juga sangat jelas. Kini generasi muda yang terjebak dengan tabiat merokok terdedah kepada jerat dadah yang semakin meningkatkan kes penagihan dadah dari sehari ke sehari di kalangan generasi tunas ini.

Negara seperti Thailand, Singapura dan Kanada sudah jauh kehadapan dalam memperketatkan undang-undang mengenai rokok dan merokok berbanding kita malah Malaysia sendiri telah menjadi salah sebuah negara yang menandatangani Konvensyen antarabangsa mengenai kawalan rokok .

Fatwa ini akan memberi kesan yang sangat mendalam kepada seluruh umat Islam memandangkan hukum agama, walaupun ada yang melanggarnya, namun boleh memberi impak yang kuat untuk membasmi tabiat yang memudaratkan ini dari terus dibudayakan.