Saturday, July 7, 2007

Penguatkuasa JAIP keterlaluan dan memalukan


Kes penyanyi Siti Noor Idayu Abd Moin, 22, yang ditangkap di Sunway City, Ipoh, baru-baru ini oleh penguatkuasa Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIP) berikutan apa yang didakwa sebagai bergiat dalam aktiviti tidak bermoral sebagai penyanyi, begitu menakjubkan.

Menakjubkan kerana standard-standard yang diamalkan oleh JAIP. Berikutan kes tersebut ramai rakyat Malaysia, terutama kalangan orang Melayu beragama Islam tertanya-tanya mencari jawapan. Walaupun akur dengan larangan sedemikian menurut Islam, namun mereka juga berasa keliru kerana latar-belakang kehidupan masakini jelas akan membabitkan pelbagai percanggahan isu hak asasi dan kedudukan umat Islam dalam sebuah negara seperti Malaysia.

Kita hairan mengapa penyanyi itu menjadi mangsa walhal aktiviti yang lebih dasyat dan ketara berleluasa di bandaraya Ipoh, seperti di pusat spa, karaoke, anak gadis membonceng motosikal mendedahkan bontot, orang Islam bermandi-manda di Lost World dengan seluar tights hingga menampakkan kesemuanya dan banyak lagi.

Juga kita berasa marah dengan sikap pegawai-pegaswai JAIP yang mendera penyanyi itu dengan mengurungnya dalam bilk kecil berhawa-dingin sampai pagi selain mengeluarkan kata-kata yang begitu menghina.

Kita berasa malu dengan sikap tidak bertamaddun mereka. Tidakkah ada cara lain yang lebih profesional dan lebih terhormat untuk manjalankan penguatkuasaan?

Dengan tindakan terbaru itu umat Islam dan orang Melayu di Malaysia sekali lagi terbuka kepada keghairahan "Islam-bashing" yang begitu berleluasa di serata dunia sekarang ini.

Tidak lama dulu saya terbaca mengenai teguran Perdana Menteri berhubung tindakan yang agak sama dilakukan penguatkuasa Jabatan Agama Islam di tempat lain. Bagaimanapun, apa yang ditegur beliau berlalu begitu saja -- seolah-olah pucuk pimpinan negara tidak mempunyai kuasa langsung ke atas konflik seperti ini.

Yang lebih dimarahi ramai ialah sikap pilih-memilih dalam melaksanakan tindakan. Seolah-olah ada "selective persecution" dalam agama Islam sendiri di Malaysia. Yang selalu menjadi mangsa orang bawahan -- VVIP dan sebagainya seolah-olah terkecuali.

Dalam memperkatakan VVIP saya ternampak baru-baru ini kemunculan isteri seorang Menteri di Jabatan Perdana Menteri menghadiri satu majlis dengan pakaian yang lebih mendedahkan berbanding penyanyi Siti Noor Idayu itu. Ini lebih serius kerana dia seorang isteri seorang pemimpin Islam! Kenapa tiada tindakan diambil? Kenapa tidak disumbat isteri menteri itu dalam bilik sejuk dan menghemburkan kata-kata menghina? Mungkin pegawai-pegawai penguatkuasa tidak berani sebab mereka 'hanya' pegawai kerajaan.

Tidak salah JAIP menjalankan tugas tetapi apa yang dipersoalkan ialah caranya dan aib sesorang.