Wednesday, October 15, 2008

Cerpen 'Politik baru YB J' dipertikaikan tetapi karya membuka luka orang Melayu diperjuangkan...


Isunya bukan sama ada cerpen karya Chamil Wariya itu berkualiti atau tidak. Ia sesuatu yang subjektif.

Dan dalam pada itu kenapa pula ada di antara pengkarya yang menilaikannya sebagai keterlaluan?

Mungkin filem Lelaki Komunis Terakhir atau Apa Khabar Orang Kampung tidak mendatangkan reaksi emosional di kalangan generasi muda masa kini, tetapi ia merungkai kembali balutan luka silam di kalangan generasi sebelumnya.

Berdasarkan pada premis ini pihak yang mengecam karya Chamil perlu terlebih dahulu menyorot kembali karya-karya mereka sendiri.

...Cerpen 'Politik baru YB J', yang menggambarkan seorang wakil rakyat wanita mati ditembak di atas pentas, disifatkan sebuah "cerpen yang berjaya" sehingga menjadi topik perbahasan di Parlimen, kata budayawan terkenal Dinsman.

"Kita lihat, orang yang tidak pernah bercakap tentang cerpen pun bercakap tentangnya. Daripada aspek ini, saya fikir berjayalah cerpen itu," kata penulis itu.

Dinsman atau nama sebenarnya Che Shamsudin Othman berkata, sesebuah cerpen memang menggambarkan pendirian penulisnya tetapi kebebasan berkarya harus dihormati oleh semua pihak.

"Tidak perlu ambil tindakan selagi ia dalam kategori fiksyen," katanya.

Mengulas sama ada jalan cerita di penghujung cerpen itu keterlaluan kerana menyarankan pembunuhan, Dinsman berkata, dia sendiri pernah "membunuh" watak presiden Amerika Syarikat, George W. Bush dalam sebuah dramanya 'Tamu dari Medan Perang'.

"Tetapi orang tahu, (pembunuhan) itu tidak boleh berlaku," katanya.

Beliau diminta mengulas karya bekas pengarang kanan Utusan Malaysia yang didakwa berkaitan dengan ahli parlimen DAP Teresa Kok.

Dalam cerpen Chamil Wariya yang terbit di Mingguan Malaysia baru-baru ini, wakil rakyat Cina bernama Josephine dianggap seorang yang anti-Melayu dan anti-Islam pada pandangan parti orang Melayu (POM).

Tokoh utama DAP Lim Kit Siang semalam membidas pengarangnya dan akhbar berkenaan berhubung perkara itu dalam ucapannya di Dewan Rakyat.

"Saya bertanya, apakah reaksi wakil-wakil rakyat Umno dan BN jika perdana menteri atau timbalannya menjadi sasaran seumpama Teresa dalam satu cerpen tidak bertanggungjawab seperti karya Chamil," kata ahli parlimen Ipoh Timur di blognya.

Teresa Kok yang juga anggota exco kanan kerajaan Selangor, enggan mengulas cerpen itu dengan alasan dia telah menfailkan saman terhadap penerbitnya Utusan Melayu Bhd berhubung laporan yang mendakwa dia sebagai mempertikaikan azan, bulan lalu.

Pemuda DAP akan membuat aduan polis terhadap cerpen ini di balai polis Dang Wangi, Kuala Lumpur tengah hari esok.

Diminta mengulas 'Politik baru YB J', pengarah filem terkenal Amir Muhammad pula menyifatkan karya itu "fasis" dan "kesasteraan yang menyebarkan kebencian".

"Ia amat kasar dan menganggap pembaca bodoh," katanya.

Pengarah dua dokumentari yang pernah diharamkan Lelaki Komunis Terakhir dan Apa Khabar Orang Kampung bagaimanapun berkata, cerpen yang kasar dan tidak menghormati tingkat intelektual pembaca sudah lama menjadi trend dalam kesasteraan Melayu.

Mengulas reaksi pihak yang tidak selesa dengan cerpen Chamil itu, Amir berkata: "Kalau tidak setuju, boikotlah."

Pengulas isu-isu seni budaya Hasmi Hashim juga bersetuju dengan saranan agar orang ramai memboikot akhbar itu.

"Provokasi terhadap isu-isu perkauman, apa jua tajuknya, tidak boleh diterima," katanya, sambil menambah kebebasan yang diberikan dalam cereka mesti datang dengan tanggungjawab.

"Bukan soal hak menulis, tetapi api perkauman yang keterlaluan. Provokasi, walau apa pun, tidak boleh dipertahankan," katanya.

Mengulas isu kebebasan kreatif dalam cerpen itu, dia berkata:

"(Karya) itu bukan kreatif. Dalam sejarah dunia, daripada (karya) Pramoedya Ananta Toer di Indonesia sampai dunia (sastera) Eropah, tidak pernah kita bertemu karya yang sebegitu jelek."

Cerpen 'Politik baru YB J' mengisahkan perjalanan ahli parlimen Alam Maya, Josephine menghadiri dialog dengan "generasi muda seketurunan dengannya yang yang pernah mempersendakan lagu Negaraku sewaktu menuntut di luar negara".

Dalam perjalanan itu, dia yang lebih dikenali sebagai YB J kelihatan "resah", "gelisah" dan "seolah-olah tidak menentu" tidak seperti selalu.

Pada masa itu, Josephine dilihat pro-Cina dan tidak mewakili pelbagai kaum, terutamanya oleh POM, antaranya kerana mahu menghapuskan tulisan jawi dan menggantikannya dengan tulisan Cina.

Bagaimanapun, menurut Josephine, dia sekadar memperjuangkan kepentingannya, sama seperti pemimpin Melayu dalam POM dan pemimpin Parti Orang Islam (POI) berjuang untuk bangsa mereka.

Dalam pilihanraya lalu, ahli politik lantang yang mendukung Gagasan Baru Politik Baru turut mendapat sokongan Melayu di kawasannya.

Tiba di tempat yang dituju, ketika menuju ke rostrum, seorang daripada 500 hadirin menghala kepadanya. Tanpa berkata apa-apa, dia mengeluarkan sepucuk pistol dan menembak YB J.

Anak muda itu mati ditembak balas.

Sewaktu pemeriksaan mayat dibuat, terselit sehelai nota berbunyi:

"YB Josephine adalah ancaman terhadap keharmonian. Lebih baik riwayatnya ditamatkan supaya masyarakat berbilang kaum boleh tinggal aman damai di negara bertuah ini. Saya berkorban untuk masa depan..."

Disusun dari Malaysiakini