Saturday, February 28, 2009

Perak: Sivakumar sekali lagi membelakangi perlembagaan


Keputusan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar memanggil sidang tergempar Selasa ini satu tindakan yang bertentangan dengan Perlembagaan Negeri, kata Menteri Besarnya, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pula berkata, Speaker DUN tidak boleh memanggil
sidang tergempar kerana mahkamah masih belum membuat keputusan berhubung status kerajaan negeri itu.

Katanya, sebarang keputusan untuk mengadakan sidang DUN Perak bergantung kepada keputusan mahkamah berhubung kes terbabit.

Selain bertentangan dengan Perlembagaan Negeri, Zambry yang dilantik sebagai Menteri Besar Perak awal bulan ini berkata, keputusan Sivakumar juga bercanggah dengan undang-undang dan peraturan DUN.

Sehubungan itu tegas beliau, Sivakumar hanya bertindak sebagai demi kepentingan partinya.

Sebaliknya jelas Zambry, Speaker itu seharusnya bertindak secara objektif kerana beliau sewajarnya mengetahui akan peraturan DUN.

Kemungkinan selepas ini, kata beliau, Sivakumar akan melakukan perkara-perkara lain yang bertentangan dengan Perlembagaan.