Saturday, April 25, 2009

Kenyataan JAKIM


Penentuan status perlu ikut hukum, perundangan

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menegaskan isu berkaitan penentuan status agama anak apabila ibu atau bapa memeluk agama Islam perlu dilihat dari aspek hukum syarak dan perundangan. 

Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz, berkata mengikut Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan, agama seseorang di bawah 18 tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapa atau penjaganya. 

“Berdasarkan peruntukan itu, persetujuan salah satu pihak saja adalah memadai dalam penentuan agama seseorang kanak-kanak kerana perkataan yang digunakan dalam Perkara 12(4) itu adalah `parent or guardian’ bukan `parents or guardian’ yang mana ia bermaksud `ibu atau bapa atau penjaga,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini lewat petang semalam.

Katanya, mengikut Seksyen 95 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993, seseorang kanak-kanak yang belum mencapai usia 18 tahun boleh memeluk Islam jika ibu atau bapa atau penjaga mengizinkan. 

Katanya, antara kes yang boleh dirujuk berkenaan hak penentuan agama anak ialah kes Subashini Rajasingam lawan Saravanan Thangathoray yang mana Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa bapa kanak-kanak itu mempunyai kuasa mengislamkan anaknya berdasarkan perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan. 

“Ini adalah kerana berdasarkan kepada Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan, agama seseorang yang di bawah umur 18 tahun hendaklah ditetapkan ibu atau bapa atau penjaganya.

“Oleh itu, dalam kes ini suami adalah berhak mengislamkan anaknya walaupun isterinya tidak bersetuju dengan pengislaman anaknya itu,” katanya. 

Wan Mohamad berkata, mengikut hukum syarak pula, mereka yang berhak menjaga dan memelihara anak mesti seorang Islam kerana jika yang menjaga itu bukan Islam, dikhuatiri akan memberi fitnah kepada agama kanak-kanak di bawah jagaannya.