Tengku Razaleigh, yang menawarkan diri merebut kerusi Presiden parti, mengakui pernah mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin Pakatan Rakyat termasuk Anwar Ibrahim.
Selain Anwar, bekas Menteri Kewangan itu juga pernah menemui Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.
Bagaimanpun Tengku Razaleigh berkata, pertemuan-pertemuan itu hanya berlangsung dalam "konteks kawan-kawan lama yang bertemu."
Ketika mengulas khabar angin bahawa dia sudah menyertai Pakatan Rakyat, Ketua Umno Bahagian Gua Musang itu berkata, dia menemui pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat atas permintaan mereka mahu menemuinya untuk membincangkan masa depan negara.
"Sebagai seorang pemimpin, saya terbuka untuk menemui kesemua ahli politik, tidak kira sama ada mereka dari Barisan ataupun Pakatan," katanya.
Malah desas-desus sedemikian pernah muncul tiga bulan lalu, yang dia menemui pemimpin PAS di Parlimen dan ditawarkan memimpin pembangkang sebagai Perdana Menteri.
Laporan terbaru ini tidak menyebut bila dia menemui pemimpin-pemimpin pembangkang.
Ahli Parlimen Gua Musang itu juga meminta kesemua ahli politik mengutamakan kepentingan negara khususnya ia penting dalam suasana seperti sekarang.
"Khususnya dalam suasana sekarang kita perlu mengatasi ketidaktentuan politik dan ekonomi," katanya.
Tengku Razaleigh menambah, dia mempunyai rancangan sendiri untuk membantu negara bebas daripada persekitaran politik dan ekonomi semasa.
"Saya tidak inginkan jawatan ataupun kuasa. Saya menawarkan kepimpinan bagi negara menghadapi cabaran ekonomi global semasa," kata Tengku Razaleigh yang turut mengecam pelan peralihan kuasa dalam Umno sekarang sebagai tidak demokratik.