Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini meminta rakyat supaya tidak lagi mendengar pembohongan penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meneruskan rancangannya mengambil alih kerajaan daripada Barisan Nasional (BN).
Beliau berkata rakyat tidak sepatutnya membuang masa untuk memikirkan kenyataan tidak berasas Ketua Pembangkang itu kerana terbukti bahawa dakwaannya untuk menubuhkan kerajaan pada 16 Sept lalu adalah tidak benar.
"Tidak perlulah kita membuang masa melayani pembohongan beliau dan sebaliknya tumpuan harus diberikan kepada usaha membangunkan ekonomi dan negara serta menangani kesan krisis kewangan global," katanya.
Katanya dalam keadaan krisis kewangan yang tenat di Amerika Syarikat dan Eropah, keutamaan kerajaan dan rakyat di negara ini ialah menangani masalah ekonomi serta meningkatkan aktiviti yang boleh mencergaskan ekonomi agar rakyat tidak begitu merasai kesannya.