Thursday, November 13, 2008

Wanita UMNO: masih di awang-awang...


Ringkasnya, jika Sharizat masih lagi tidak dapat memutuskan sama ada untuk bertanding kerusi No. 1 Wanita UMNO walaupun jelas akar-umbi mahukan dia berbuat demikian, apa lagi yang ditunggu?

Tidak logik bagi exco memutuskan tindakan bebas sesiapa kerana pelan transisi tidak wujud dalam perlembagaan UMNO. Exco sepatutnya (bukan 'sepatutnya,' tetapi 'wajib') akur dengan kehendak semua ahli kerana parti bukan kepunyaan hanya segelintir elit. Mereka (exco) dipilih untuk menyuarakan kehendak dan suara ramai ahli dan bukan kehendak hanya seorang seperti kini berlaku.

Bermuhasabah dan nilai kembali kedudukan pergerakan dalam konteks masa depan UMNO secara keseluruhan. Ironinya di sini, perspektif Rafidah yang mengatakan kononya pelan transisi tahun depan akan melindungi pergerakan daripada perpecahan adalah konsep yang pincang dan tidak boleh diterima akal. Apakah dia ingat seluruh ahli Wanita UMNO begitu cetek pemikiran? Inilah sindrom yang jelas dicerminkan pepatah Inggeri, "Power corrupts, and absolute power corrupts absolutely" (kuasa itu berbahaya dan memabukkan jika tidak mampu dikawal dan kuasa mutlak boleh menghancurkan).

Apakah ribuan ahli hanya boleh duduk dan menonton sandiwara licik ini tanpa mampu berbuat sesuatu?Mereka boleh bertindak tetapi yang perlu bergera ialah Shahrizat sendiri. Jika tidak berani, silalah berhenti secara terhormat...