Sunday, March 15, 2009

Penggantungan Gobind dikira ringan...dia patut lebih takut kpd kesan tindakan di segi undang-undang hasutan


Imuniti atau keistimewaan yang diberi kepada seseorang ahli Parlimen di bawah Artikel 63 Perlembagaan Persekutuan bukanlah sesuatu yang bersifat mutlak sebaliknya mempunyai sekatan tertentu.

Peguam Salehuddin Saidin berkata, berdasarkan Artikel 63 (4) Perlembagaan yang menyatakan keistimewaan daripada dikenakan tindakan mahkamah ke atas apa yang dicakapkan ketika prosiding Dewan Negara atau Dewan Rakyat adalah tertakluk pada empat perkara.

Katanya, empat perkara tersebut ialah berhubung Artikel 153 iaitu hak istimewa orang Melayu, Artikel 152 mengenai bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, Artikel 181 tentang raja-raja Melayu dan keempat, perkara yang tergolong kepada definisi hasutan menurut Akta Hasutan 1948.

Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) diperintahkan keluar dewan oleh Timbalan Yang di Pertua Dewan Rakyat, Datuk Ronald Kiandee setelah dia menimbulkan suasana tegang apabila mempersoalkan sistem keadilan dalam pendakwaan kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaaribuu.

Ronald kemudian mengarahkannya berhenti daripada membangkitkan perkara tersebut berikutan kes berkenaan sedang dalam perbicaraan mahkamah namun Gobind terus berdegil.

Yang pasti apabila sistem keadilan negara dipersoalkan di Parlimen mencetus rasa tidak puas hati, apa yang dibangkitkan itu tergolong pada maksud hasutan di bawah akta berkenaan.

Ia seperti yang dinyatakan di bawah Seksyen 3 (1) (c) Akta Hasutan yang kesalahannya dinyatakan di bawah seksyen 4 dengan hukuman yang diperuntukkan ialah denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.