Tuesday, March 17, 2009

Usah Peduli Agnes Monica & Jelita



Berikut adalah klip video lagu "Allah Perduli" yang dinyanyikan oleh Agnes Monica pada satu sambutan hari Krismas di Bimantara, Senayan, Indonesia pada tahun 2006. Lagu "Allah Perduli" ini diklasifikasikan sebagai lagu gospel, bukan lagu untuk tujuan komersial. Ini bermaksud lagu "Allah Perduli" sudah lama dinyanyikan oleh Agnes. Jika ia dianggap sebagai lagu gospel, mengapakah ia turut dimuatkan sekali dalam album komersial Agnes? Untuk tujuan apa lagu tersebut dikomersialkan? Agnes yang beragama Kristian semakin sinonim di Malaysia dengan lagu Tiada Lagi Logika sejak tahun 2006. Apakah ini jelmaan baru cara Gold Gospel & Glory dalam bentuk lagu?

Kini, Agnes popular dengan cerita Jelita pada setiap jam 3.00 petang di TV3. Populariti Jelita seakan sama dengan populariti "Bawang Putih Bawang Merah" di TV3 pada tahun 2006. Tambahan pula lagu "Matahariku" nyanyian Agnes Monica telah menjadi lagu tema Jelita. Bertambah popular lagi Agnes. Hinggakan ada yang menjadikan lagu "Matahariku" sebagai nada dering telefon kerana pengaruh Jelita. Mungkin kerana populariti Agnes di Malaysia dan Indonesia, maka lagu "Allah Perduli" diselitkan bersama dalam album Agnes Monica. Bukankah ini salah satu cara dakwah licik gospel pada orang Islam?

(Gambar; Berikut adalah lirik lagu "Allah Perduli" yang dinyanyikan oleh Agnes). Pada 13 Mac 2009, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) telah bertindak mengharamkan lagu "Allah Perduli". Jika mengikut Enakmen Agama Bukan Islam 1988, sesiapa yang didapati memainkan lagu itu boleh dikenakan tindakan denda RM1,000. Namun sejauh mana penguatkuasaan akan diambil? Bilakah Majis Agama Islam Negeri lain akan menuruti langkah MAIS? Dalam lagu, mereka sudah gunakan kalimah "Allah", hebahannya lebih meluas dari penerbitan Herald Catholic. Apakah akibat yang lebih besar jika penggunaan kalimah "Allah" dibenarkan di Malaysia? Tidak mustahil akan terjadi seperti di negara jiran, di sesetengah tempat liberalisme sudah terbudaya dalam rumah sampailah ke tanah perkuburan.

Undian dalam talian yang dibuat oleh laman web Majlis Peguam. Bukankah bancian di atas dibuat untuk bertanya tentang bersetuju atau tidak untuk murtad? Dalam laman yang sama, Majlis Peguam pernah mengadakan undian berhubung kewajaran pengunaan kalimah Allah. Mengapa Majis Peguam berkelakuan sebegini? Apakah dipengaruhi oleh sesiapa?

Apakah kalangan pemimpin utama pembangkang di Malaysia tidak mahu sedar akibat penyalahgunaan kalimah "Allah" ini? Mengapa perlu sokong lagi usaha Herald Catholic? Usah peduli Agnes dan Jelita. Banyak lagi artis dan drama tempatan yang boleh dipedulikan. Dari dokumentari pendek "Fitna", karikatur menghina Nabi Muhammad SAW, blog yang menghina Nabi, forum memeluk Islam, usaha Herald Cathollic dan lagu "Allah Perduli". Perkara-perkara ini adalah antara cabaran baru terhadap Islam dalam dunia teknologi kini. Orang Islam di seluruh Nusantara harus bersatu menentang apa juga bentuk dakwah halus untuk mencabar Islam.

AZRINIZAM IBRAHIM
Presiden Gabungan Pemimpin Mahasiswa Malaysia (GPMM)